KUCHING, 3 Ogos: Menceritakan derita lampaunya menerusi karya terbaharu, Claudia Tan melancarkan single ‘Settle 4 Less’ pada 28 Julai lalu.
Meskipun lagu sebelumnya ‘Toast’ menurut anak jati Kuching itu masih berusia empat minggu dirinya nekad melahirkan single baharu lagi bertujuan untuk bangkit meraih kejayaan.
“Selepas pelancaran Toast, saya bersama penerbit saya, Irwin duduk dan berbincang mengenai rancangan seterusnya.
“Melalui Settle 4 Less, yang juga mempunyai elemen yang hampir sama dengan Toast, ia mempunyai mesej yang baik, jadi kami ingin melakukannya dengan cepat selain keterujaan kami rasakan ini,” katanya ketika ditemu bual TVS baru-baru ini.
Menjelas lanjut, Claudia berkata single ‘Settle 4 Less’ menceritakan kekuatan seorang wanita yang giat berusaha untuk keluar daripada belenggu persekitaran yang negatif.
“Saya dahulu selalu dipandang rendah terutamanya menjadi seorang wanita dan berkecimpung dalam bidang seni, orang ramai akan memberikan pandangan serong kepada anda terutamanya apabila masih lagi baharu dalam bidang ini.
“Jadi, melalui Settle 4 Less, saya bakal membuktikan kepada mereka di sini bahawa saya akan berusaha lebih keras dan saya tidak akan duduk diam dibelenggu dengan perkara asas sebegini. Saya menggubahnya kepada idea muzik di mana anda tidak seharusnya terlalu menurut kepada pasangan anda kerana anda lebih tahu apa yang terbaik buat anda,” uajrnya.
Sejak dilancarkan seminggu lalu, Claudia mengakui dirinya dibanjiri pesanan serta komen berbaur positif daripada netizen yang senasib dengannya.
Situasi sedemikian membeli harapan kepadanya agar lagu itu terus disambut baik selain dirinya kini mengintai peluang untuk mengadakan persembahan di Kuching.
Kali terakhir menurutnya telah beraksi pada Festival Muzik dan Kesenian Sunbear 2022 di Kampung Budaya Sarawak di sini pada Disember 2022.
“Saya rasa saya kini aktif melakukan beberapa persembahan secara langsung dan banyak festival yang dinantikan walaupun di Kuala Lumpur, tetapi saya berharap saya mampu menjelajah seluruh Malaysia dengan lebih banyak persembahan secara langsung,” ujarnya.
Selain menghiasi papan iklan digital di New York Times Square pada 20 Julai lalu, graduan Ijazah Sarjana Muda Sejarah Kesusateraan Inggeris di Universiti Lancaster yang popular dengan lagu ‘Bodies’ dan ‘Your Gentlemen’ itu mula berkecimpung dalam bidang muzik pada tahun 2019.
Turut membanggakan anak Sarawak ini turut berkarya iaitu hasil penulisannya dua siri ‘Perfect’ berjaya merangkul Watty Award sebanyak dua kali sekali gus memperoleh lebih 160 juta bacaan di Wattpad dan menerusi kejayaannya, siri Perfect Addiction berjaya dibukukan seterusnya dilancarkan pada 2022.
Karya Perfect Addiction seterusnya telah berjaya diangkat ke layar filem tahun ini yang dilakonkan oleh pelakon popular seperti Kiana Madiera, Ross Butler dan Mathew Noszka. – TVS