BINTANGOR, 4 Ogos: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor sedang giat melakukan pemantauan dan rondaan khususnya di kawasan ‘hotspot’ yang dikenal pasti berisiko terjadinya kebakaran hutan dan belukar.
Ketua BBP Bintangor, Penolong Penguasa Bomba, Nicholas Belulin berkata, kebanyakan kes membabitkan aktiviti pembakaran kebun dan sampah sehingga merebak seterusnya menyebabkan kebakaran besar.
Jelasnya, aktiviti pertanian dan pembakaran sampah dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar kes kebakaran terbuka yang kerap dilaporkan berlaku di sekitar daerah Bintangor sejak awal Januari lalu.
“Bagi bahagian Sarikei atau daerah Meradong ini, panggilan yang kita terima dalam seminggu lebih kurang purata sehari sekali. Kita memang akan terima panggilan berkenaan dengan kebakaran hutan, pembakaran terbuka dan kebanyakan kebun persendirian dan kawasan belukar.
“Setakat ini, belum ada yang melibatkan kawasan ladang lagi,” katanya ketika ditemui media di Bintangor, semalam.
Tambahnya, walaupun bilangan kes yang dilaporkan setakat ini masih rendah, tetapi perbuatan tersebut perlu diberhentikan berikutan cuaca panas dan kering sekarang.
Pihaknya juga turun padang bagi menyedarkan orang ramai mengenai bahayanya melakukan aktviti pembarakan terbuka tanpa kawalan.
“Setakat ini, evokasi yang kita buat memang orang awam faham. Mereka hanya melakukan pembakaran secara terkawal, tidak secara besar-besaran.
“Saya mengingatkan juga kepada penduduk sekitar Meradong, Julau dan Pakan semoga sentiasa mematuhi arahan pihak bomba dan pihak berkuasa yang lain bagi mengekang berlakunya kebakaran terbuka,” ujarnya lagi.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka agar dapat mencegah berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini. – TVS