KOTA SAMARAHAN, 4 Ogos: Sempena ulang tahun kelahirannya hari ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendoakan agar Sarawak terus maju dan makmur.
Malah beliau mendoakan agar rakyat menikmati kehidupan yang selesa dalam persekitaran ekonomi pesat membangun dan politik stabil, sejajar dengan usaha Kerajaan Sarawak mengutamakan rakyat.
Ekonomi Sarawak kian rancak, pendapatan negeri dijangka terus meningkat tahun ini
“Saya mahukan Sarawak terus membangun dan rakyat mempunyai makanan di atas meja kerana apabila mereka mempunyai makanan, ia bermakna ekonomi kita kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang harapannya terhadap Sarawak pada sidang media selepas merasmikan bangunan Pusat Digital Tun Abang Haji Openg, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan pimpinannya sentiasa menekankan kepentingan pendidikan yang disifatkan beliau sebagai kunci utama dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat dan menyumbang terhadap pembangunan negeri.
“Pendidikan adalah kunci untuk membasmi kemiskinan. Niat saya adalah untuk memberi pendidikan tinggi secara percuma.
“Sekarang kita telah dikategorikan sebagai negeri berpendapatan tinggi dan kita harus mengekalkan kedudukan itu,” ujarnya. – TVS