KAPIT, 3 Ogos: Warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari katak di kawasan hutan di Sungai Banyau, Nanga Sebala Mujong pada Isnin lalu ditemukan selamat, pada petang Rabu.
Nyipa Ajong, 68, ditemui pada jam 2 petang semalam kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dan cucunya berehat sebelum mencari katak di Sungai Sengkabang Hilir pada Sabtu lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Timoty Barat berkata mangsa berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Semasa ditemui, mangsa dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan pada fizikal mangsa,” katanya ketika dihubungi TVS pada Rabu.
Timoty berkata, sejurus dijumpai mangsa telah diserah kepada pihak polis Kapit untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi SAR ditamatkan pada jam 7.42 semalam setelah pasukan selamat tiba di BBP Kapit,” ujarnya.
Sabtu lalu, mangsa dan cucunya masuk ke dalam hutan berkenaan untuk mencari katak namun mangsa dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang pada pagi 30 Julai lalu.
Usaha cucunya mencari datuknya di sekitar kawasan berdekatan gagal ketika itu.
Pengadu kemudian pulang berseorangan melalui jalan darat dan sungai yang mengambil masa tiga jam untuk sampai di rumah panjang mereka di Rumah Bangkong, Nanga Sebala, Mujong dekat sini.
Susulan itu, BBP Kapit menerima makluman daripada Balai Polis Kapit berhubung kes orang hilang pada jam 10.32 pagi pada Isnin.
Operasi pencarian hanya dapat dilakukan pada Selasa atas faktor jarak dan lokasi kejadian yang jauh dari bandar Kapit.
Operasi SAR membabitkan pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk rumah panjang.