KUCHING, 3 Ogos: Pesta air terbesar Sarawak, Sibu Jaya Water Fiesta kembali pada 7 oktober depan di Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pesta berkenaan adalah inti pati daripada Karnival Sibu Jaya yang bermula 26 Ogos hingga 8 Oktober 2023.
“(Tahun lepas) adalah kali pertama saya hadir temasya pesta air dan pengalaman saya ia sangat menggembirakan walaupun basah ditembak dengan pistol air. Tetapi itulah kemeriahannya dan yang penting kita mahu orang ramai bersuka ria dengan aktiviti air ini.
“Salah satu tujuan kita lakukan pesta ini adalah untuk mewujudkan rasa dan suasana gembira di kawasan penempatan tersebut. Saya percaya penduduk Sibujaya amat menantikan karnival ini,” katanya pada sidang media Water Fiesta @ Sibujaya di Bangunan Baitulmakmur II di sini pada Khamis.
Menurut beliau kemuncak karnival menyaksikan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan majlis penangguhan pada 7 Oktober diikuti konsert.
Selain itu, Abdul Karim yakin acara Sibu Jaya Bike Week dan Grand Prix Sibu Jaya Extreme Motocross Championship 2023 bakal menghimpunkan lebih 100 peminat sukan permotoran dari Malaysia, Brunei serta Indonesia berkampung di bandar Sibu kelak.
Karnival itu tambah beliau akan menjanjikan pelbagai aktiviti menarik lain seperti ‘fun fair’, gerai jualan serta pentas persembahan artis tempatan.
“Ini sedikit sebanyak usaha oleh pihak Amcorps dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) menyemarakkan lagi industri ekonomi rakyat tempatan terutama di sekitar Sibu Jaya selain memupuk semangat kejiranan sekali gus memperkenalkan kawasan bsetempat,” tegasnya.