Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melepaskan para peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Kuching, hari ini. Foto: JaPen.

Sambutan Hari Sarawak, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tingkat semangat patriotisme dan nasionalisme

KUCHING, 3 Ogos: “Nang sik berasa,” itu ungkapan popular Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang merujuk kepada tarikh Hari Sarawak, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia diraikan dalam selang masa tidak lama, sekali gus meningkatkan semangat patriotisme dan nasionalisme.

“Baru sahaja kita meraikan Hari Sarawak pada 22 Julai yang lalu dan hari ini kita melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang nanti pada 31 Ogos dan 16 September kita akan meraikan pula Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” katanya lagi.

Berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak di sini, hari ini, beliau berkata ia merupakan satu program yang amat signifikan kepada kita rakyat Malaysia di Sarawak.

Menurutnya, ia menampilkan kelainan menerusi elemen patriotik yang disemarakkan bersama badan beruniform berorientasikan kepada kepelbagaian dalam perpaduan yang juga bersandarkan kepada aspirasi Malaysia MADANI.

“Kita di negeri ini juga merupakan satu contoh kepelbagaian dalam perpaduan atau dari satu sudut lagi, perpaduan dalam kepelbagaian, tambahan pula kita sering berpaksikan konsep kebersamaan ‘Segulai Sejalai’ di sini,” ujarnya.

Rakyat Sarawak katanya wajar berbangga kerana dijadikan contoh dari aspek perpaduan kaum.

“Saya turut yakin bahawa setiap pengisian program yang dianjurkan Jabatan Penerangan bersama agensi-agensi yang lain sepanjang bulan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia akan meningkatkan lagi semangat patrioitisme dan nasionalisme dalam kalangan rakyat di negeri ini,” katanya.

Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 yang melibatkan 35 kenderaan daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, syarikat berkaitan kerajaan dan persendirian akan mula bergerak dari Kuching, menjelajahi setiap pelusuk negeri ini hingga ke Lawas.

Pada tahun ini, pasukan konvoi akan merentasi sempadan Sarawak hingga ke Sipitang bagi bersama-sama dalam pasukan KMJG JAPEN Sabah.

Kedua-dua pasukan akan bergabung dalam semangat intergrasi merentas sempadan kedua-dua negeri bagi menyebarkan mesej-mesej kenegaraan kepada seluruh rakyat.

Abang Johari berharap pada setiap persinggahan KMJG, rakyat memberikan sambutan dan sokongan padu kepada konvoi KMJG yang membawa mesej patriotisme dan semangat kebangsaan kepada negara Malaysia.

“Marilah kita tunjukkan semangat perpaduan kita rakyat Sarawak yang mendokong kedaulatan negara ini sepanjang Bulan Kebangsaan berlangsung dan terjemahkan semangat tersebut dengan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap premis kerajaan, swasta atau persendirian, kampung, rumah panjang malah pada kenderaan masing-masing,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan