Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Mantan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Datu Hashim Bojet. Foto: TVS

Nilai eksport kayu Sarawak cecah RM8 bilion menjelang 2030

ByOdleen Catherny

KUCHING, 3 Ogos: Nilai eksport kayu dan produk bukan kayu Sarawak dijangka mencecah RM8 bilion menjelang 2030, kata mantan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Datu Hashim Bojet.

Menurut beliau setakat ini eksport telah mencecah kira-kira RM3.7 bilion daripada produk kayu yang dikeluarkan PUSAKA.

Fokus utama strategi PUSAKA kata Hashim, berusaha untuk meningkatkan pengeluaran bahan mentah daripada hutan yang ditanam.

“Pada masa ini dan yang akan datang, kita tidak boleh lagi bergantung kepada balak yang dikeluarkan oleh hutan asli. Ketika ini hutan asli menyumbang 2.3 juta meter padu setahun. Jumlah balak yang dikeluarkan oleh ladang hutan kita pula adalah sekitar 1.1 juta meter padu.

“Untuk kita membangun industri perkayuan sekali gus menyumbang kepada pendapatan yang tinggi, kita perlu meningkatkan jumlah pengeluaran balak yang kita tanam,” katanya dalam satu sesi temu bual Dialog TVS, baru-baru ini.

Namun PUSAKA jelas beliau tidak bergantung kepada 1.1 juta meter padu tersebut dan giat meningkatkan pengeluaran kepada sekitar 4 juta meter padu setahun.

“Tetapi kalau kita dapat mengurus ladang hutan kita selari dengan sasaran kerajaan negeri iaitu seluas 1 juta hektar, dalam perkiraan kita, sekiranya dapat diurus dengan baik dan sistematik pada 2030 nanti kita berupaya mencapai hingga 8 juta meter padu,” jelasnya.

Hashim juga menyifatkan sekiranya PUSAKA berupaya meningkatkan produktiviti dan sistem pengurusan yang lebih baik, meskipun hanya membangun setengah daripada 1 juta hektar keluasan hutan yang telah disasarkan, tidak mustahil untuk negeri menghasilkan bahan mentah sehingga 13 juta meter padu.

“Kita juga tidak boleh lagi bergantung kepada pengeluaran industri prima yang tiada nilai tambah sebaliknya mengeluarkan barangan nilai tambah daripada kayu gergaji,” katanya sambil memetik contoh fokus perlu beralih untuk mengeluarkan kayu kejuruteraan yang banyak digunakan oleh dunia ketika ini.

Pada masa sama, beliau mendedahkan PUSAKA komited berusaha memikat para pelabur dari dalam dan luar negara untuk membantu mengeluarkan lebih banyak perabot di eksport ke pasaran global.

“Di Semenanjung Malaysia, khususnya di pusat beli-belah, mereka menyumbang RM7 bilion daripada hasil industri perabot.

Jadi sekiranya kita membawa industri ataupun pelabur ini ke negeri kita maka sasaran negeri juga mampu dicapai,” ujarnya.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan