Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Nancy melancarkan melancarkan Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Selangor hari ini. Foto: Bernama.

Kes gangguan seksual kanak-kanak membimbangkan – Nancy

ByBernama

SERDANG, 3 Ogos: Kes gangguan seksual melibatkan kanak-kanak menunjukkan trend membimbangkan dengan 35 kes dilaporkan pada tahun lepas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Jumlah kes itu pun tidak menggambarkan keadaan sebenar dalam negara, kata Nancy yang yakin terdapat banyak lagi kes yang tidak dilaporkan atas pelbagai faktor.

“Ada ibu bapa mungkin malu untuk buat laporan, kanak-kanak pula tidak tahu cara untuk membuat laporan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Selangor di sini hari ini.

Nancy berkata isu gangguan seksual dalam kalangan kanak-kanak juga boleh mengakibatkan trauma dan memberi kesan jangka panjang terutamanya jika pelaku terdiri daripada individu terdekat seperti bapa atau abang sendiri.

“Kita tidak mahu kes sebegini menjadi normal (kerana) kalau dikacau dan diganggu dari kecil, mungkin mereka rasa itu adalah perbuatan biasa dalam tingkah laku manusia,” katanya.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 378 kes gangguan seksual melibatkan orang dewasa dilaporkan pada 2020 dan angka itu meningkat kepada 506 kes pada 2021.

Nancy berkata masih ramai lagi yang tidak tampil melaporkan kes gangguan seksual yang dilalui kepada pihak berkuasa kerana malu dan takut.

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia membantu mangsa dari segi khidmat kaunseling dan psikologi namun mangsa disarankan juga untuk membuat laporan polis.

“Kaunseling sahaja tidak mencukupi sebab tindakan perlu diambil,” katanya.

Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual merupakan program yang memberi pendedahan dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai gangguan seksual. Program tersebut juga bertujuan memberi kesedaran agar budaya menormalisasikan gangguan seksual dihapuskan.

Dalam perkembangan lain, Nancy berkata pihaknya sedang menunggu laporan pihak polis berhubung insiden bayi dihempas ke lantai dan kanak-kanak dicampak dari tingkat satu sebuah pangsapuri di Pulau Pinang semalam.

“Kami baharu sahaja terima maklumat berhubung kes tersebut dan difahamkan ia dalam proses siasatan. Kita harus menunggu laporan yang sepatutnya terlebih dahulu untuk memastikan kita melakukan perkara yang betul,” katanya.

Media hari ini melaporkan bayi perempuan berusia 40 hari dihempas ke lantai oleh bapa saudaranya sehingga mengalami pendarahan di bahagian kepala manakala seorang lagi mangsa, kanak-kanak berumur tiga tahun cedera di mulut dan patah kaki akibat dicampak.

Pelaku yang berusia 29 tahun itu didakwa terdengar ‘bunyi bisikan’ sebelum mencederakan kedua-dua anak saudaranya dan sedang menerima rawatan tradisional sejak dua bulan lepas akibat masalah kesihatan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan