KUCHING, 3 Ogos: Kuching ketika ini menjadi platform pertemuan pemain industri dan peminat muzik Sarawak dan dari Pontianak, Indonesia menerusi acara CONNECTED yang diadakan bermula semalam, 2 hingga 5 Ogos.
Acara empat hari itu mengenegahkan sesi perkongsian dan persembahan secara langsung, sesi kejuruteraan audio, proses pengeluaran muzik, dan acara pameran debut muzik baharu di RECHAUS, Kuching di sini.
Menerusi satu kenyataan, penganjur CONNECTED berkata acara itu bertujuan bagi menyediakan platform unik untuk para pengunjung saling bertukar pengetahuan dan pendapat, pengalaman dan mempromosikan muzik asli mereka.
“Peserta akan memperoleh pelbagai tips dan pandangan berharga dalam membuat persembahan yang menarik melalui menggunakan persediaan audio digital, pilihan suara, dan teknik berkesan.
“Hari ini (3 Ogos) kita akan adakan sesi perkongsian kejuruteraan audio. Sesi itu akan merangkumi perbincangan dan pertukaran idea dinamik antara jurutera audio Indonesia dan Sarawak.
“Manakala, sesi perkongsian produksi muzik pula akan berlaku pada 4 Ogos melibatkan peserta dapat meneroka proses kreatif mencipta lagu dari awal dan menampilkan sesi kolaborasi antara penerbit muzik Indonesia dan Sarawak,” jelas kenyataan berkenaan.
Sementara, Pengasas & Pengarah RECHAUS, Andro Keebo berkata, acara kemuncak bakal menyaksikan persembahan dari dua band Indonesia, dua artis solo tempatan dan dua band tempatan dari Sarawak.
“Kami cukup teruja untuk menghimpunkan para pemuzik dan pemain industri dari pelbagai rantau dalam mempromosikan kerjasama, perkongsian pengetahuan dalam bidang muzik serta dan mempromosikan muzik-muzik asli.
“CONNECTED menawarkan peluang unik kepada para peserta untuk berhubung, belajar dan mempamerkan bakat mereka, sambil memupuk komuniti muzik yang bertenaga dan pelbagai,” ujarnya. – TVS