KUCHING, 2 Ogos: Penyebaran maklumat yang tepat tentang inisiatif dan polisi Kerajaan Sarawak merupakan antara perkara penting ditekankan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata berlandaskan kepentingan itu Abang Johari menubuhkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan menyerap bekas kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).
“Apabila JASA dibubarkan, Premier Abang Jo menubuhkan UKAS dan menyerap semua warga JASA dari Sarawak yang kehilangan pekerjaan tetapi sangat berpengalaman untuk berkhidmat dalam UKAS.
“Mereka ini memainkan peranan aktif dalam usaha penyaluran pelbagai maklumat tentang inisiatif dan polisi kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ke setiap pelusuk masyarakat di Sarawak yang luas terutama di pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima UKAS yang dihadiri Abang Johari, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Khui Hian di sini, malam tadi.
Sarawak tuntut satu lagi bidang kuasa dikembalikan di bawah MA63 – Abang Johari
Abdullah berkata lagi, inisiatif dan polisi Kerajaan Sarawak wajar disebarkan kepada semua lapisan masyarakat agar mereka jelas dengan perjuangan dan pembangunan kerajaan GPS dan para pemimpin terdahulu.
Pada 2017 setelah dilantik sebagai Ketua Menteri, Abang Johari menggerakkan inisiatif ekonomi digital yang bertujuan membangunkan struktur ekonomi baharu dalam menjana pendapatan.
Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum 2018. Susulan itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) keluar dari BN dan membentuk GPS.
“Apabila empat parti dari Sarawak keluar dari BN dan menubuh GPS, banyak persoalan politik perlu dijelaskan. UKAS yang baharu tiga bulan (ketika itu) ditubuhkan diberi tanggungjawab untuk menyebar maklumat seluas yang boleh dalam kalangan masyarakat,” katanya yang menegaskan bahawa maklumat tepat mesti sampai kepada rakyat agar tidak wujud kekeliruan.
Menurutnya, Abang Johari telah melaksanakan pelbagai inisiatif berteraskan rakyat sejajar dengan matlamat membangunkan Sarawak ke arah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Selain melaksanakan pembangunan infrastruktur dan ekonomi, perjuangan menuntut hak dan kepentingan Sarawak seperti termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetap menjadi agenda utama GPS.
“Sekarang kita dalam proses pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030. Bukan sahaja bertujuan memulih ‘kecederaan’ akibat pandemik terhadap ekonomi dan kebajikan rakyat, tetapi untuk menambah pendapatan Sarawak,” katanya.
Katanya, Sarawak antara negeri di Malaysia yang paling agresif dalam usaha pemulihan ekonomi dan pengukuhan kedudukan pendapatan negeri.
Penubuhan pelbagai agensi seperti Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Petros, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan pelbagai inisiatif untuk menjadikan Sarawak sebagai pembekal utama tenaga hijau utama di rantau ini adalah bukti jelas kesungguhan kepimpinan Sarawak ke arah pembinaan sebuah negeri maju.
“Berlatarbelakangkan suasana begini di Sarawak, peranan UKAS semakin relevan dalam usaha memastikan masyarakat Sarawak tidak ketinggalan dalam menerima berbagai maklumat dan mendapat gambaran sebenar berbagai usaha pembangunan kerajaan,” katanya. – TVS