KUCHING, 1 Ogos: Kerajaan Sarawak sedang berunding dengan Kerajaan Persekutuan supaya satu lagi perkara di bawah bidang kuasanya dikembalikan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata, tuntutan terbaharu itu diharap dapat diselesaikan pada tahun ini.
Kata beliau ini menyusul selepas Kerajaan Sarawak diberi lampu hijau berhubung permintaan supaya Pelabuhan Bintulu diserahkan kepada bidang kuasa kerajaan negeri dan pengambil alihan perkhidmatan penerbangan tempatan, MASwings.
“Perkara yang ketiga mungkin dituntut balik oleh Kerajaan Sarawak, kita bagi surprise, namun harap dapat diselesaikan pada tahun ini juga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Kelima di sini malam ini.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol dan Pengarah UKAS, Samuel Simon.
Sementara itu, ditanya mengenai Lembaga Pengarah Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak, Abang Johari berkata, perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi.
“Ini merupakan sebuah institusi yang strategik, jadi saya akan perincikan menerusi sidang media khas,” ujarnya.Â
Pada majlis berkenaan, Abang Johari turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 27 wakil organisasi media di Sarawak termasuk Sarawak Media Group (SMG). -TVS