SARIKEI, 2 Ogos: Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang memperuntukkan sebanyak RM910,000 bagi membantu golongan muda di kawasan itu melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi sejak 12 tahun lalu.
ADUN Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, bantuan disalurkan bertujuan meringankan beban keluarga selain melahirkan modal insan berkualiti dan memastikan mereka menikmati kehidupan lebih terjamin pada masa depan.
Malah sejak Januari lalu katanya, sebanyak RM59,100 disumbangkan kepada seramai 164 orang pelajar bagi melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam, matrikulasi, diploma dan ijazah.
“Ini merupakan salah satu pendekatan saya bagi memastikan anak-anak Kuala Rajang mendapat pendidikan sempurna sekali gus membina masa depan yang lebih terjamin,” katanya menerusi Facebooknya, semalam.
Len Talif berkata, selain pendidikan, serahan bantuan kepada penduduk di beberapa lokasi bagi kawasan Kuala Rajang juga disampaikan oleh wakil beliau sejak Januari lalu bagi zon Sarikei.
Katanya, antara sumbangan yang dihulurkan berupa bantuan kewangan, kerusi roda dan pelbagai keperluan untuk kesihatan kepada seramai 95 orang sehingga kini.
“Semoga mereka semua sihat walafiat dan sedikit bantuan dapat meringankan bebanan mereka dan keluarga dan kepada para pelajar khasnya golongan belia dapat mencapai kejayaan yamg lebih cemerlang serta bermakna,” ujarnya. – TVS