KUCHING, 2 Ogos: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengalu-alukan inisiatif swasta dalam meneroka tenaga hijau sejajar dengan matlamat Kerajaan Sarawak.
Pengurus Besar SEDC Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir yang berkata demikian menambah, sehubungan itu YTL Power International Berhad yang mempunyai kepakaran dalam pembangunan tenaga solar di Semenanjung Malaysia berminat menceburi bidang berkenaan.
“Sebelum ini kita telah menjalinkan kerjasama dengan YTL dalam pembekalan simen, kini mereka ingin meneroka bidang tenaga hijau.
“Saya rasa pada asasnya YTL cuba untuk menetapkan sasaran mereka selaras dengan inisiatif Kerajaan Sarawak pada asasnya teknologi digital dan tenaga hijau,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat bersama YTL terhadap Abang Johari di WIsma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan YTL Power International Berhad Dato Yeoh Seok Hong berkata pihaknya sedang meneliti untuk pembinaan pusat data tenaga hijau seperti dibangunkan di Semenanjung Malaysia.
“Kita kini sedang membina pusat data yang berkuasa 500 MegaWatt (MW) yang dikuasai oleh tenaga solar (di Semenanjung Malaysia).
“Kunjungan hormat kami terhadap Premier Sarawak pada hari ini adalah untuk menunjukkan minat kami untuk bekerjasama dan memberi perkhidmatan pakar dalam bidang ini,” katanya.
Pada Julai lalu, YTL Cement menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Lembaga Kemajuan Bintulu untuk membuka fasiliti simen di negeri ini. – TVS