KOTA KINABALU, 1 Ogos : Kerajaan Sabah menggesa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuktamadkan penurunan kuasa dalam bidang pendidikan dan kesihatan kepada negeri itu seperti yang dibincangkan menerusi Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menterinya, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata pihaknya menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof mengenai penurunan kuasa berkenaan.
“Dengan penurunan ini kita (Kerajaan Sabah) mempunyai lebih autonomi akan memastikan sistem pendidikan negeri ini terus maju seiring dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata penurunan kuasa itu turut memberi tumpuan kepada aspek pentadbiran dan pengurusan, akan lebih memudahkan kerajaan negeri untuk melaksanakan dan mempercepatkan setiap projek pembangunan pendidikan.
“Usaha desentralisasi kuasa pendidikan ini juga secara tidak langsung membuktikan kepercayaan Kerajaan Persekutuan kepada jentera kerajaan negeri khususnya dalam meningkatkan keupayaan sistem pendidikan di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-34 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha pada Selasa.
“Kita yakin dengan adanya autonomi ini, kerajaan negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan mempunyai fleksibiliti untuk pelbagai isu yang berkaitan pendidikan di negeri ini.
Hajiji turut berkata pegawai di peringkat kerajaan negeri turut berpeluang dalam mengawal serta menyelia secara lebih teratur menerusi penurunan kuasa itu.
“Dalam hal ini, para pegawai di peringkat negeri mempunyai pengetahuan yang lebih baik tentang permasalahan rakyat di kawasan sendiri. Dengan itu kawalan dan penyeliaan yang lebih baik harus dilaksanakan dan ini secara tidak langsung membolehkan isu permasalahan rakyat dapat diurus dengan lebih cekap dan cepat,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Fadillah Yusof mengulas penurunan kuasa itu di Kota Kinabalu pada Mei ketika merasmikan Majlis Apresiasi Lembaga Koko Malaysia.
Jelas Fadillah, Cabaran Sabah dan Sarawak ialah semua perancangan berhubung kait bidang pendidikan dan kesihatan dilaksanakan di ibu pejabat iaitu di Putrajaya termasuklah dari segi pengambilan guru dan pegawai-pegawai kesihatan dan sebagainya. -TVS