JAKARTA, 1 Ogos: Pihak berkuasa Indonesia menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) lapan pelombong emas yang terperangkap dalam lombong di Banyumas, Jawa Tengah, Indonesia.
Pada hari terakhir SAR, kesemua mangsa gagal ditemui.
Ketua Pejabat SAR Cilacap, Adah Sudarsa berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira hasil analisis bersama pakar dan ahli keluarga mangsa.
“Selepas tujuh hari operasi SAR, pasukan penyelamat tidak menemui sebarang tanda. Oleh itu keputusan untuk menamatkan operasi diambil,” katanya.
Beliau mendedahkan pihaknya telah melakukan pencarian secara maksimum dengan pelbagai kaedah untuk mengesan mangsa walaupun terpaksa berdepan cabaran lombong sempit, kedalaman lombong mencecah 70 meter dan paras air setinggi 40 meter.
Bagaimanapun kata beliau sekiranya terdapat petunjuk baharu mengenai mangsa, operasi SAR akan diaktifkan semula.
Pada 25 Julai lepas, lapan pelombong dipercayai terperangkap dalam lombong itu akibat banjir. -TVS