BINTANGOR, 1 Ogos: Lebih RM300,000 peruntukan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) diluluskan untuk menaik taraf infrastruktur di kawasan Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kerja menaik taraf itu melibatkan prasarana seperti sekolah, jalan raya dan sistem perparitan di sini.
“Pertama, kerja meratakan tapak tanah perkarangan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Chiang dengan kos RM100,000.
“Projek ini menyelesaikan masalah kawasan sekolah yang kerap dinaiki air ketika hujan lebat atau air pasang besar.
“Kedua, cadangan projek naik taraf Jalan Fu Ching yang meliputi Jalan Paku yang bernilai RM50,000 dan mungkin akan meningkat hingga RM100,000 jika Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) merasakan kosnya tidak mencukupi,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak projek RTP yang diluluskan di kawasan Meradong bersama agensi pelaksana hari ini.
Beliau menambah turut dicadangkan ialah naik taraf jambatan kayu yang menghubungkan jalan ladang untuk kegunaan penduduk di lima buah rumah panjang di kawasan Sungai Raya yang melibatkan kos RM100,000.
Selain itu, katanya cadangan naik taraf sistem perparitan Rumah Nyandang, Ulu Stras bernilai RM55,000 turut diluluskan.
“Saya akan terus membantu penduduk Meradong untuk menambah baik infrastruktur dan kemudahan asas untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” ujarnya. -TVS