KUCHING, 1 Ogos: Kompleks Raudhatul Sakinah Kuching (KRSK) Tanah Perkuburan Semariang mula beroperasi secara rasmi hari ini.
KRSK merupakan sebuah kompleks yang dibina khas oleh Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) yang berfungsi sebagai pusat operasi urusan fardhu kifayah dan pengkebumian di Tanah Perkuburan Semariang di sini.
Menurut satu hantaran di Facebook, Masjid Jamek Negeri Sarawak – Rasmi, berikutan KRSK mula beroperasi hari ini, segala urusan laporan kematian yang dahulunya dilaksanakan di Masjid Jamek Negeri Sarawak akan berpindah ke Kompleks Raudhatul Sakinah Kuching.
“Selain menerima laporan, KRSK juga boleh berfungsi sebagai tempat pengurusan jenazah seperti memandikan dan urusan solat jenazah,” jelas hantaran berkenaan.
Sementara, sebarang pertanyaan berhubung urusan fardhu kifayah boleh hubungi talian +6011-1187 5249. -TVS