Sibu, 1 Ogos: Seorang kerani di syarikat swasta di Sibu kerugian RM1.06 juta akibat terpedaya dengan ‘Love Scam’ sejak pertengahan tahun 2022 lalu.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata mangsa dilaporkan telah berkenalan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Thomas Yeng Leong’ menerusi Facebook sejak itu.
Menurutnya, mangsa yang berusia lingkungan 50-an itu mula menjalinkan hubungan cinta serta berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp yang menggunakan nombor 017-3695070.
“Suspek mengatakan bekerja sebagai jurutera di London dan meminta bantuan mangsa membuat pembayaran pembelian bahan kimia untuk tujuan pekerjaannya.
“Mangsa telah melakukan 25 transaksi pemindahan wang berjumlah lebih kurang RM395,000 ke lima akaun berlainan pada awal bulan Ogos 2022 hingga penghujung September 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mancha Ata berkata lelaki berkenan telah berjanji akan datang ke Malaysia pada September 2022 namun beberapa hari kemudian, mangsa telah dihubungi pihak kastam yang kononnya mengatakan suspek telah ditahan di Thailand kerana membawa wang tunai dolar melebihi had ditetapkan dan bayaran denda dikenakan untuk membebaskan suspek.
“Mangsa kemudian telah melakukan tiga transaksi pindahan wang berjumlah lebih kurang RM225,000 ke tiga akaun berlainan pada penghujung September hingga awal Oktober 2022.
“Mangsa turut melakukan 36 transaksi pindahan wang berjumlah lebih kurang RM414,000 ke atas 16 akaun bank berlainan pada awal bulan Mei 2023 hingga Julai 2023 bagi tujuan pembelian barang kerja suspek, urusan dating di Malaysia dan tujuan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata wanita itu mula menyedari dirinya ditipu setelah suspek masih memintanya pembuat pembayaran atas pelbagai alasan tetapi dirinya masih gagal bertemu dengan suspek.
Sejurus itu menurut Mancha mangsa kemudian tampil membuat laporan untuk siasatan lanjut polis dan anggaran jumlah kerugian keseluruhan yang dialaminya bernilai lebih kurang RM1.06 juta.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Mancha menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpesona dengan gambar-gambar profil yang cantik atau tampan yang digunakan di media sosial. – TVS