Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pewujudan kerangka itu akan membantu kerajaan memahami beberapa cabaran penggunaan AI. Foto hiasan: Envato

Kerajaan teliti keperluan wujud kerangka kawal selia AI – Fahmi

ByBernama

PUTRAJAYA, 1 Ogos: Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk mewujudkan kerangka kawal selia teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengatasi masalah etika penggunaan berkaitan teknologi berkenaan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Bercakap pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada program Public Sector Day Malaysia di sini hari ini, Fahmi berkata pewujudan kerangka itu akan membantu kerajaan memahami beberapa cabaran penggunaan AI memandangkan ia merupakan satu teknologi baharu.

“Ini perkara (teknologi) baharu dan kita perlu kumpulan tenaga pakar daripada agensi kerajaan serta industri untuk memahami beberapa cabaran …. AI mungkin akan bawa kesan kepada sektor pekerjaan.

“Ketika ini, ramai sudah mula guna aplikasi AI, ada kewajaran bagi pihak kerajaan untuk meneliti keperluan mewujudkan suatu kerangka kawal selia,” katanya.

AI ialah teknologi yang meniru kepintaran otak manusia dengan kemampuan untuk belajar memperbaiki mutu kerjanya dari semasa ke semasa sehingga dapat berfungsi lebih cekap dan sempurna bagi melaksanakan sesuatu tugasan.

Bagi meningkatkan pemahaman rakyat terhadap AI, Fahmi mencadangkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mewujudkan program khas dengan mengundang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai tetamu untuk mengulas mengenai AI dalam bahasa Melayu.

“Sejajar dengan perkembangan sektor teknologi, saya harap RTM boleh berbincang dengan DBP. Usaha ini boleh bantu untuk memperbanyak kosa kata berkaitan teknologi dalam bahasa Melayu …. Bila ada banyak kosa kata (mengenai teknologi) dalam bahasa Melayu, ia akan mudah difahami,” katanya.

Fahmi berkata perkembangan bahasa perlu selaras dengan kemajuan teknologi bagi memastikan setiap teknologi baharu mudah difahami segenap lapisan masyarakat.

Terdahulu, dalam ucaptamanya Fahmi berkata Malaysia memerlukan lebih ramai bakat dan pakar dalam data dan teknologi kerana negara ini semakin menghampiri dekad digital keemasan dan menjadi harimau digital Asia.

“Banyak peluang untuk meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat dengan menerima pendigitalan kerana Malaysia berusaha untuk menjadi negara yang mengutamakan digital dan memulakan dekad digital yang makmur,” katanya.

Berhubung Inisiatif MyDigital, Fahmi berkata inisiatif yang dilancarkan pada Februari 2021 itu telah mencapai kemajuan ketara ke arah matlamatnya mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang didayakan secara digital dan berteknologi tinggi, serta sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Beliau berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pusat pelaburan data yang mampan dan berdaya tahan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan