IPOH, 31 Julai: Seorang pesara kerajaan di Hilir Perak dekat sini berputih mata apabila wang simpanan dan duit persaraannya bersama isteri lebih setengah juta ringgit lesap kerana penipuan pelaburan kripto tidak wujud.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata lelaki berumur 70 tahun itu mula terpedaya dengan sindiket itu selepas melihat iklan pelaburan yang beralamat di Singapura ketika melayari Facebook pada 8 Januari lalu.
Mangsa menghubungi pemilik Facebook tersebut menerusi WhatsApp untuk urusan pembelian saham kripto kononnya di Amerika Syarikat.
Menurutnya, suspek kemudiannya telah meminta maklumat peribadi mangsa seperti nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank dengan alasan bagi urusan dokumentasi pelaburan.
“Mangsa memulakan pelaburan dengan membeli dua unit saham bernilai RM500 pada 9 Januari dengan memindahkan wang ke dalam satu akaun bank tempatan.
“Dia diberitahu akan mendapat keuntungan RM4,500 dalam tempoh sehari iaitu pada hari sama dan keuntungan akan terus meningkat sekiranya tidak mengeluarkan wang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehari kemudian, suspek memaklumkan bahawa pelaburan mangsa telah mengaut keuntungan RM18,500 meskipun baharu dua hari melabur.
“Bagaimanapun mangsa diminta membuat pelbagai pembayaran untuk mendapatkan keseluruhan wang pelaburannya.
“Mangsa telah membuat 133 transaksi pindahan wang ke dalam 39 akaun bank tempatan berjumlah RM542,171.20 dalam tempoh Januari hingga Julai lalu,” katanya lagi.
Tambah beliau, suspek secara berterusan meminta mangsa terus melabur sebelum dia tidak dapat dihubungi apabila mangsa meminta kesemua wangnya dipulangkan.
“Mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas dia tidak menerima sebarang hasil dari pelaburannya dan telah membuat laporan polis semalam.
“Wang itu adalah hasil simpannya selain duit persaraan mangsa dan isteri,” ujar beliau.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – TVS