KUCHING, 31 Julai: Kerajaan Sarawak merancang membuka beberapa lagi galeri sejarah agar generasi baharu mempunyai pengetahuan dan pendedahan tentang sejarah negeri dan menjadi destinasi pelancongan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata rancangan berkenaan adalah untuk melengkapkan lagi galeri sejarah seperti Muzium Warisan Brooke Dockyard, Muzium Limbang, Rumah Sri Aman serta Taman Arkeologi Santubong dan Pusat Wallace.
Selain itu, Kubu Lily, Kubu Emma, Kubu Brooke dan Kubu Hose turut penting dalam memelihara warisan sejarah Sarawak.
Menurutnya, pengwujudan galeri sejarah adalah selari dengan objektif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang melibatkan keterangkuman sosial dan kemampanan dari segi persekitaran dan budaya.
“Kita telah membangunkan muzium (Muzium Budaya Borneo) dengan pelawat yang disebutkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (tadi) yang berjaya mencatatkan lebih 700,000 orang pengunjung.
“Peluang adalah cerah untuk kita mempamerkan sejarah masa lalu dan kita mahu berkongsi mengenainya kepada para pelawat dan dalam masa yang sama memperkaya budaya dan pengetahuan untuk penentuan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2023, di sini, hari ini. Hadir sama, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Abang Johari berkata lagi, muzium adalah satu institusi atau organisasi yang sangat penting dalam pembangunan manusia.
Dalam pada itu, katanya Kerajaan Sarawak juga akan menggunakan pendekatan yang sedikit berbeza untuk mempamerkan sejarah iaitu melalui pementasan teater muzikal.
“Sebab itu kerajaan Sarawak telah memberi peruntukan lebih RM200 juta untuk menaik taraf Pusat Persembahan Seni di bangunan lama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
“(Konsep) kita akan mengambil inspirasi dari Royal Albert Hall di London (untuk seni bina dewan dan sistem bunyi).
“Ini adalah satu-satunya cara kita menterjemah dan kita nak bawa secara nyata apa juga pameran yang ada di Sarawak ini,” ujarnya. – TVS