KUCHING, 29 Julai: Kapal berhias, Samling Timber Malaysia menjuarai Perarakan Kapal Berhias sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka malam ini dengan 756 markah, dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
Seterusnya, memperoleh 705 markah keseluruhan, kapal berhias Jabatan Premier Sarawak menduduki tempat kedua sementara tempat ketiga milik, kapal berhias Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dengan 652 markah.
Sebanyak 20 buah kapal berhias gabungan kementerian dan agensi dibawahnya telah menyertai pertandingan Kapal Berhias pada malam ini yang menjanjikan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 untuk tempat pertama, RM7,000 (tempat kedua) dan RM5,000 (tempat ketiga).
Difahamkan kesemua kapal berhias yang menang akan berlabuh sekali lagi di hadapan Tebingan Kuching pada 30 Julai 2023 sehingga tengah malam.
Sementara perarakan kapal berhias itu turut disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta ketiga-tiga timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Untuk rekod, kali terakhir Perarakan Kapal Berhias diadakan adalah pada tahun 2013 iaitu 10 tahun lalu dan ia kembali diadakan tahun ini sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka sekali gus memeriahkan kembali Tebingan Kuching.