KOTA SAMARAHAN, 30 Julai: Generasi muda yang berhasrat menceburkan diri dalam bidang perniagaan perlu memahami serta memiliki kemahiran asas dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, ini kerana pada era globalisasi penggunaan teknologi tersebut merupakan perkara asas bagi membentuk jaringan perniagaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Kata beliau, kebanyakan syarikat yang berjaya telah memahami dan seterusnya memanfaatkan teknologi itu dalam penghasilan dan pemasaran produk mereka.
“Sekiranya ingin berjaya dalam perniagaan, kita mesti faham bagaimana untuk menggunakan ICT itu sebagai bahan untuk memajukan perniagaan.

“Pada masa sama, nasihat saya jangan salah guna ICT seperti terlibat dalam aktiviti penipuan sebaliknya gunakan kepakaran itu untuk mencari rezeki yang halal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Program Belia Mahir ICT: Bengkel Asas Komputer dan Penyelengaraan Komputer Komuniti di sini hari ini.
Bengkel selama dua hari itu dihadiri 30 belia golongan B40 sekitar Kota Samarahan khususnya dari kawasan DUN Stakan.
Menerusi bengkel tersebut, peserta didedahkan dengan ilmu asas tentang komputer serta kemahiran menyelenggara komputer yang merupakan antara fokus utama melahirkan generasi belia yang celik ICT. – TVS