KOTA KINABALU, 30 Julai: Belia di Malaysia diseru menjadikan gerakan koperasi dan bidang keusahawanan sebagai satu budaya untuk meningkatkan tahap ekonomi masing-masing, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ke arah menjayakan hasrat berkenaan, badan koperasi tidak seharusnya dilihat sebagai satu badan sukarela semata-mata.
Malah kata beliau ia wajar dijadikan sebagai wadah mewujudkan minat dan membina budaya keusahawanan dalam diri mereka.
“Jadikan ia (koperasi dan keusahawanan) sebagai kerjaya dan jangan terlalu melihat (perniagaan berbentuk) produk sahaja tetapi juga perkhidmatan.
“Selain itu, lihat juga aspek bagaimana ia dapat memberi keutamaan kepada belia di luar bandar supaya ia terimbang pertumbuhan ekonominya.
“Saya juga melihat koperasi perlu main peranan dalam usaha mewujudkan semangat keusahawanan dalam kalangan belia melalui latihan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Majlis Penutup Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik (Apcys) 4.0 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menambah, badan koperasi dan keusahawanan membantu kerajaan mengurangkan kadar pengangguran selain menjana lebih banyak pendapatan melalui perniagaan. – TVS