GEDONG, 30 Julai: Sebuah hotel sembilan tingkat akan dibina di Gedong dalam masa terdekat, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, keputusan berkenaan bagi memenuhi keperluan setempat sekiranya terdapat penganjuran acara besar di situ.
“Saya difahamkan jika ada acara besar atau pesta seperti ini (Pesta Gedong 2023), kebanyakan hotel di Serian penuh.
“Oleh itu kita akan bangunkan hotel sembilan tingkat dan juga Pejabat Daerah yang baharu dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pesta Gedong 2023 di sini, malam ini.
Turut hadir, isterinya Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED)Datuk Naroden Majais dan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.Â
Sementara itu, Abang Johari turut memaklumkan beberapa projek jalan raya baharu yang menghubungkan Gedong dengan kawasan sekitar turut akan turut dilaksanakan.
“Jalan raya di hulu Simunjan sedang dibangunkan, (ini akan) memendekkan tempoh perjalanan dari situ ke Gedong.
“Selain itu, kita (Kerajaan Sarawak) sedang menyukat untuk melaksanakan jalan baharu menghubungkan Serian dengan Gedong yang juga akan memendekkan masa perjalanan,” jelasnya.
Pada Januari lepas, Abang Johari memaklumkankan tiga projek jalan raya baharu bakal dibina tahun ini melibatkan laluan Gedong ke Samarahan serta empat laluan termasuk untuk Transit Aliran Autonomi (ART) ART Gedong-Serian. -TVS