KUCHING, 30 Julai: Dua kilang hidrogen yang bakal dibina di Kidurong, Bintulu akan menjadi hab pekerjaan teknologi dan teknikal untuk anak Sarawak, kata Dr Hazland Abang Hipni.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak berkata, dua kilang itu masing – masing akan dibina oleh syarikat dari Korea Selatan dan Jepun.
Kata beliau, sebuah kilang dianggarkan boleh menghasilkan 100,000 tan hidrogen setahun dan memerlukan 1,000 pekerja.
“Kilang hidrogen ini akan mula dibina pada 2024 dan dijangka siap menjelang 2027,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Festival Maal Hijrah 1445H/2023 di Masjid Jamek Negeri Sarawak, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberi jaminan terhadap 1,000 peluang pekerjaan baharu berkenaan bagi setiap kilang itu.
“Ini kerana Kerajaan Sarawak telah meletakkan syarat kepada syarikat berkenaan untuk melatih tenaga kerja mahir di negeri ini sebelum dibenarkan membuka kilang berkenaan,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai festival berkenaan, beliau memuji usaha Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS).
Menurut beliau, festival seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang serta menjadi contoh kepada masjid dan surau lain di seluruh Sarawak. – TVS