KUCHING, 30 Julai: Penyanyi terkenal negara, Dayang Nurfaizah meluahkan rasa teruja dapat pulang menghiburkan peminat di kampung halamannya sempena Perarakan Kapal Berhias malam tadi.
Pemenang Anugerah Industri Muzik (AIM) 2022 itu turut mengimbas kembali saat dia membuat persembahan pada acara sama 10 tahun lepas.Â
“Malam ini sekali lagi saya berada di sini, terima kasih banyak kerana mengundang saya,” kata Dayang yang menerima tepukan gemuruh penonton.
Anggun mengenakan persalinan berwarna hijau zamrud, penyanyi itu menghiburkan lebih 10,000 pengunjung di Tebingan Sungai Kucing dengan lima buah lagu popularnya termasuk Dayang Sayang Kamu.
Sementara itu, seorang lagi artis terkenal berasal dari Sarawak, Hafiz Suip turut menghiburkan pengunjung dengan mengalunkan lima buah lagu termasuk Kisah Cinta Kita dan Matahariku.
Acara berkenaan yang diadakan sempena Sambutan Sarawak Merdeka 60 Tahun turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang. -TVS