LENGGONG, 30 Julai: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengadakan pertemuan bersama Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), berhubung pembatalan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat.
Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata pertemuan itu, bertujuan membolehkan pihaknya mengetahui isu sebenar berkaitan pembatalan pendaftaran berkenaan dan melakukan penelitian lanjut.
“Saya pun tidak tahu apa sebab dan masalah yang dihadapi di dalam persatuan, tetapi isu itu saya akan minta pemangku Ketua Setiausaha kementerian, untuk lihat dan buat satu perjumpaan untuk dengar dulu apa cerita mereka.
“Ia dibatalkan di bawah RoS, jadi kita kena fahamkan dahulu dan tahu puncanya sebelum memberikan komen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutup Program Warisan@Lenggong, sempena sambutan Ulang Tahun Ke-11 Pengiktirafan Lembah Lenggong Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Festival Merakyatkan Seni Budaya ‘Warisan Akar Umbi’ di sini hari ini.
Beliau berkata MTC juga perlu memberi penjelasan kepada Kementerian Dalam Negeri, sekiranya ingin mengemukakan rayuan pembatalan berkenaan.
“Ia di bawah bidang kuasa KDN, jika mahu buat rayuan, mereka perlu mengemukakannya dan beri penjelasan kepada KDN,” katanya.
Rabu lepas, sekretariat MTC dalam kenyataan berkata pihaknya berharap dapat bertemu dengan Tiong dalam masa terdekat, untuk membincangkan isu berkenaan dan mencari penyelesaian yang adil untuk mengekalkan inti pati MTC dan peranan pentingnya, dalam memajukan industri pelancongan Malaysia.
Bekas Setiausaha Agung MTC Noorzaleha Baharuddin sehari sebelum itu dilaporkan berkata RoS telah mengeluarkan surat pembatalan berkuat kuasa 20 Julai, terhadap MTC selepas siasatan terperinci mendapati pertubuhan itu dengan sengaja melakukan kesalahan yang bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335). -TVS