SELANGAU, 30 Julai: Adam Nicklos dan Praty Sofia masing-masing berjaya merangkul gelaran Keling dan Kumang pada Karnival Selangau 2023 malam tadi.
Adam yang berasal dari Tatau mengalahkan lapan finalis lain sekali gus menerima hadiah RM3,000, trofi serta selempang.
Larry Walter yang muncul naib johan serta menyandang gelaran Laja pula membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta trofi dan selempang.
Tempat ketiga yang turut ditabalkan sebagai Bungai Nuing dimenangi oleh Edward Anum yang menerima RM1,500 serta trofi dan selempang.
Terdahulu, Edward juga dinobatkan pemenang Keling Pengelandik Main Asal Iban yang melayakkannya membawa pulang RM500.
Sementara itu, Praty yang berasal dari Bintulu diumumkan sebagai Kumang menerima hadiah wang tunai RM3,000 berserta trofi dan selempang.
Naib johan iaitu Lulong dimenangi oleh Jessica Ajik membawa pulang RM2,000 serta trofi dan selempang manakala gelaran Selinggar Matahari disandang oleh Jolin Ling membawa pulang RM1,500, trofi dan selempang.
Jolin juga memenangi hadiah Kumang Pengelandik Main Asal Iban turut membawa pulang hadiah wang tunai RM500.
Majlis penutupan Karnival Selangau 2023 disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN (ADUN) Tamin, Christoper Gira Sambang. – TVS