KUCHING, 29 Jul: Polisi larangan penggunaan beg plastik di Festival Kuching (Kuching Fest) 2023 disambut baik oleh warga Kuching.
Rata-rata pengunjung dan peniaga bersetuju terhadap polisi yang diperkenalkan pada tahun lepas itu diamalkan semula pada tahun ini.
Pengusaha Toko Daging, Mohamad Awet, mengakui pelaksanaan polisi berkenaan memberi kelebihan kepada pihaknya berikutan ia menjimatkan kos dan masa.
“Saya bersetuju dengan pelaksanaan ini kerana ia dapat membantu menjimatkan kos di mana pihak kami tidak perlu mengeluarkan lagi modal untuk membeli plastik kepada jualan kami.
“Selain itu, penjimatan masa berlaku di mana kami tidak bertungkus lumus membungkus makanan yang pada masa sama, kami perlu melayan pelanggan lain.
“Apa yang saya dapat lihat, pihak penganjur melakukan perkara yang betul dengan melaksanakan polisi ini kerana pelanggan dilihat bersedia dengan situasi ini dan mereka sekali gus dididik dengan kesedaran ini,” katanya ketika ditemui TVS di sini pada Jumaat.
Sementara bagi pengusaha Caws, Alex Sim berkata peraturan tersebut disifatkannya mesra alam walaupun pada masa sama memahami kesukaran yang dihadapi oleh pelanggan berhubung polisi tersebut.
“Inisiatif yang kami (Caws) lakukan adalah, kami menyediakan ‘totebag’ kami sendiri untuk memudahkan para pelanggan.
“Ia bukan sahaja memudahkan urusan pelanggan namun ia boleh digunakan dalam jangka masa yang lama,” katanya.
Bagi menjayakan program mesra alam ini, Alex turut menerapkan unsur keseronokan dengan menganjurkan permainan ‘food hunting’.
“Mereka yang berjaya mengumpul pelekat pada kad yang diberikan bakal mendapat ‘totebag’ Caws secara percuma,” ujarnya.
Manakala pelancong United Kingdom, Kibilly Suso yang pertama kali menjejakkan kaki di Kuching mengakui isu penggunaan plastik secara besar-besaran memberi kesan buruk kepada alam.
“Sebagai seorang penyelam, saya sering kali melihat sisa plastik di dalam laut dan ia bakal memberi impak buruk bukan sahaja kepada laut malah alam sekitar di darat juga.
“Jadi, saya sangat bersetuju dengan pelaksanaan ini dan untuk masa depan, saya percaya idea ini amat bernas,” tegasnya.
Turut senada, pereka fesyen tempatan, Neng Kho Razali yang sering mengunjung Kuching Fest ini berlapang dada menerima polisi yang ditetapkan oleh pihak penganjur.
“Festival lain juga pernah melakukan inisiatif ini dan saya rasa masyarakat kita boleh menyesuaikan diri dengan suasana ini.
“Tambahan pula, pelaksanaan ini dapat mengurangkan pembuangan sampah yang ada di festival dan ini menunjukkan bahawa masyarakat kita bertanggungjawab dengan perbuatan mereka sendiri,” jelasnya.
Kuching Fest merupakan acara tahunan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) diadakan di perkarangan Dewan Masyarakat Padungan telah bermula semalam, 28 Julai hingga 20 Ogos.
Sejumlah 285 buah gerai menyertai festival pada tahun ini berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 333 buah gerai. – TVS