SIBU, 29 Julai: Lapan penghuni hilang tempat berteduh selepas kediaman mereka ranap dalam kebakaran di Kampung Jeriah Utara di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, kesemua mangsa dilaporkan tidak berada di rumah.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Andy Alie berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3.13 petang.
Menurutnya seramai 17 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan balai bantuan dari BBP Sibujaya bersama dua jentera FRT dan sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman secara offensive menggunakan satu aliran 1,000 kaki, dua pancutan dari sumber air pili bomba.
“Api berjaya dikawal lima minit selepas pancutan pertama dan operasi terkawal pada jam 3.35 petang,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah rumah setinggan bersaiz 36 kali 24 kaki persegi tidak kekal terbakar sepenuhnya.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.
Tambahnya lagi, operasi ditamatkan pada 4.27 petang dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – TVS