KUCHING, 29 Julai: Sejumlah RM160 juta diperuntukkan untuk melaksanakan projek pembangunan melibatkan kawasan dari Brooke Dockyard hingga Satok, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, peruntukan RM10 juta telah disalurkan bagi fasa pertama projek yang dijangka bakal siap sekitar empat tahun dari sekarang.
“Brooke Dockyard akan jadi Pasar Sentral. Kita akan sambung (hubungkan) di tepi sungai sehingga ke Satok. Kita mengangkat infrastruktur kampung kita ini sampai ke Satok,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Dewan Toh Puan Hajjah Dayang Masniah, Bangunan Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching (PASBK) di sini pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari mengakui jambatan Kampung Bintangor yang sedang dibangunkan ketika ini bakal menjadi ikonik baharu Sarawak.
Pada masa sama, beliau optimis jambatan berkenaan akan menjadi daya tarikan pengunjung luar untuk mengunjungi kampung disekitarnya.
“Mereka (penduduk kampung) meminta kepada saya supaya kampung itu diubah suai dengan bangunan yang moden tetapi ia masih dipunyai masyarakat kita, orang Melayu,” ujar beliau -TVS