LIMBANG, 29 Julai: Polis merampas syabu bernilai RM3,400 susulan penahanan seorang penganggur lelaki di sebuah rumah di Jalan Kubong di sini pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang yang bertindak hasil maklumat dan risikan yang membawa kepada penangkapan suspek pada jam 11 malam.
“Hasil pemeriksaan dalam bilik yang diduduki suspek tempatan berusia 44 tahun, kita telah menemui satu batang anak kunci dipercayai kunci kereta suspek.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kereta yang berada di lokasi terbabit, pihak polis telah menjumpai 11 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 17 gram, yang diletakkan di dalam dashboard kereta itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Parum hasil awal ujian saringan air kencing ke atas suspek juga mendapatinya positif dadah.
“Suspek yang merupakan seorang penganggur, didapati mempunyai dua kesalahan jenayah dadah lampau dan dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan penjualan dadah di sekitar Limbang,”katanya lagi.
Menurutnya harga pasaran tempatan dadah yang dirampas kira-kira RM3,400 bersamaan boleh digunakan sebanyak 85 kali penggunaan.
Suspek katanya ditahan reman selama empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952.
Beliau menegaskan polis tetap mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dengan sebarang kes jenayah terutama membabitkan dadah dan meminta orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah dan jenayah kepada pihak polis.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi IPD Limbang di talian 085-211466 atau hotline Polis Sarawak di talian 08-2245 522 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – TVS