KUCHING, 29 Julai: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menganjurkan Program Bizfrancais Sarawak 2023 yang menyasarkan potensi permbiayaan berjumlah RM5 juta tahun ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan), Dr Ripin Lamat berkata sejak program tersebut diperkenalkan, Pernas telah membiayai program itu berjumlah RM14.94 juta.
“Kalau boleh yang RM5 juta itu kita habiskan dalam masa enam bulan dan kita minta RM5 juta lagi. Kita nak aktifkan lagi aktiviti perniagaan ini mewujudkan peluang pekerjaan, terutama sekali kepada golongan belia dan kedua juga ia boleh mendatangkan pendapatan kepada negeri dan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Bizfrancais Sarawak 2023 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini, pada Sabtu.
Menurutnya Sarawak merupakan lokasi kedua siri jelajah program ini yang melibatkan lima negeri lain termasuk Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor dan Sabah.
Mengulas lanjut beliau berkata Sarawak dilihat mempunyai banyak produk tempatan yang berpotensi tinggi untuk dikembangkan di dalam negara dan antarabangsa.
“Sejak 2010 sehingga kini, Pernas telah membiayai sebanyak RM19 juta kepada 65 buah syarikat usahawan di Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap Sarawak disediakan peruntukan dana lebih besar bagi menyokong pembangunan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara.
Ripin berkata, ekonomi digital merupakan pemacu dunia perniagaan pada masa ini serta masa yang akan datang dan ia diperlukan untuk usahawan tempatan mengembangkan perniagaan mereka.
“Perkembangan teknologi kita tak dapat elakkan dan digital ekonomi ini adalah salah satu elemen utama yang akan mengembangkan semua sektor. Cara tradisional itu memang masi ada, tetapi dari segi potensi untuk berkembang lebih jauh akan lambat.
“Jadi kita kena adaptasi teknologi terkini, terutama sekali ekonomi digital untuk mengembangkan perniagaan dengan lebih cepat dan pasaran yang lebih luas,” Katanya.
Jelasnya sebagai menyokong cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan kerjasama antara kerajaan dengan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk menyokong syarikat tempatan dalam memperkasakan tvet serta melabur dana sebanyak RM1 bilion.
Turut hadir Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Dato Hazimah Zainuddin, Pengarah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas, Dato Abu Bakar As-Sidek, Penolong Setiausaha Seksyen Pembangunan Kapasiti Kementerian Perdagangan Antarabangsa Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Salbiah Saji dan Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan Komuniti Perbadangan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Nikk Adam Abdillah Kipalli.
– TVS