LIMBANG, 29 Julai: Kira-kira 10,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dijangka membanjiri Kampung Pabahanan pada 6 Ogos ini sempena Pesta Makan Tahun Kedayan Edisi Ke Tujuh di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pesta anjuran Persatuan Kedayan Limbang (PKL) itu memaparkan kebudayaan dan adat tradisi, pakaian, makanan, sukan tradisional dan bahasa kaum Kedayan di utara negeri ini.
Datuk Dr Abdul Rahman Ismail ketika ditemui media hari ini. Foto: TVSBeliau yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah berkata pesta itu dijangka akan dihadiri Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada kemuncak program yang berlangsung pada 6 Ogos depan.
“Saya telahpun mengadakan lawatan tiga kali untuk mempastikan perjalanan pesta ini kita adakan dengan yang terbaik,” katanya ketika ditemui media ketika mengadakan Lawatan Kerja Ke Tapak Tebingan Sungai Limbang Fasa Satu di sini Pada Sabtu.
Turut sama pada lawatan itu ialah Setiausaha Majlis Daerah Limbang, Petrick Linggie Taboh.
Jelasnya lagi, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan termasuk pertandingan sukan tradisi dan moden yang sudah bermula hari ini selain program kebudayaan pada awal Ogos nanti.
“Sudah bermula acara sukan tradisional, pertandingan kuit dan juga sukan gasing selain sukan moden seperti, badminton, futsal dan tarik tali,” katanya lagi.
Budaya makan tahun merupakan salah satu adat resam Kaum kedayan yang dahulunya dilakukan selepas menuai padi.
Makan Tahun akan diadakan sebagai tanda kesyukuran kerana mendapat hasil menuai padi yang memberangsangkan dan makan tahun diadakan bagi mengharapkan mereka mendapat pendapatan yang lebih baik pada masa akan datang. – TVS