KUCHING, 28 Julai: Matlamat dan rangka kerja digariskan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) Fasa I sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang bertujuan membangunkan tenaga hijau.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni berkata Kerajaan Sarawak bangga dan gembira dengan sumbangannya terhadap tenaga diperbaharui melalui kuasa hidroelektrik, projek hidrogen hijau dan penyimpanan karbon.
“Sarawak kekal berpandukan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, yang merupakan pelan tindakan untuk peralihan Sarawak menuju masyarakat maju menjelang 2030,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Rabu melancarkan NETR Fasa Pertama dengan memperkenalkan 10 inisiatif pemangkin meluas yang akan membuka peluang pelaburan antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050.
Antara lain, NETR membuka pintu masuk hidrogen ke Sarawak semasa ia melaksanakan projek untuk muncul sebagai hab hidrogen di negara ini.
Dalam pada itu, Dr Hazland berkata Kerajaan Sarawak telah menganugerahkan lesen Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) pada Mac 2023.
“Kami menggalakkan lebih banyak projek dan inisiatif untuk menjana lebih banyak kredit karbon dari Sarawak untuk dijual ke pasaran domestik dan antarabangsa.
“Hasil daripada penjualan kredit karbon akan mempercepatkan lagi projek pembangunan mampan di Sarawak,” jelasnya.
Menurutnya, selain membuka rizab hidrokarbon untuk Kasawari dan Lang Lebah melalui projek CO2 Sequestration (CCS) yang disenaraikan dalam NETR, Sarawak juga katanya sedang berbincang untuk perindustrian CCUS menyahkarbonkan industri tempatan dan sistem tenaga.
“Ia bagi mengurangkan jumlah Gas Rumah Hijau yang dikeluarkan di atmosfera,” ujarnya.
Sarawak juga katanya sedang membangunkan Dasar Peralihan Tenaga dan Pelan Hala Tuju Tenaga Bersepadu untuk memastikan aspirasi dan matlamat yang ditetapkan dalam PCDS 2030 tercapai.
“Kami mengalu-alukan lebih banyak kerjasama dalam ruang tenaga bersih dan baharu serta mengalu-alukan pelancaran bahagian kedua NETR pada akhir tahun ini,” katanya. – TVS