MIRI, 29 Julai: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka akan merasmikan Regata Baram 2023 pada 30 September depan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, acara air itu akan berlangsung empat hari bermula 28 September hingga 1 Oktober.
“Setiap malam kita mengadakan pertunjukan budaya dan pentas di pekan Marudi, Ratu Baram dan Juara Bintang Regata Baram,” katanya pada sidang media Baram Regatta 2023 Marudi di Pejabat Residen Bahagian Miri pada Jumaat.
Menurutnya Piala Premier Lumba Perahu turut diadakan disusuli pelbagai acara seperti acara perahu kuasa tinggi, lumba perahu kuasa kawalan jauh dan perahu berhias.
Penguang mendedahkan penyertaan acara Lumba Perahu diadakan kepada dua kategori iaitu tertutup kepada penduduk Baram sahaja dan kategori terbuka kepada orang ramai selain Piala Raja Baram menjanjikan hadiah wang tunai RM10,000 untuk juara.
Dalam pada itu, Penguang menyeru peminat sukan itu untuk menyertai Regata Baram termasuk warga Brunei Darussalam.-TVS