KUCHING, 28 Julai: Kerajaan Sarawak terus memperjuangkan autonomi dalam kesihatan seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memenuhi penempatan doktor di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, meskipun tiada kuasa untuk campur tangan bagi menangani masalah kakitangan kesihatan buat masa kini namun perbincangan dari semasa ke semasa bersama Ketua Pengarah Kesihatan memungkinkan isu ini dapat diselesaikan.
“Terdapat segelintir pihak yang diberi peluang bekerja tetapi menolak peluang pekerjaan tersebut hanya kerana mendapat tempat bekerja di Sarawak.
“Seperti yang dikatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, mereka sedang menelitinya kerana masih ramai orang lain dalam senarai menunggu jawatan tetap dan saya rasa isu ini akan selesai juga.
“Kami ingin berbincang di bawah MA63 dan sebahagian daripadanya adalah di bawah autonomi kesihatan. Sejak dahulu, doktor di Sarawak terdiri daripada pelbagai kaum sejak 60 tahun lepas tetapi tidak berhadapan sebarang isu dan janganlah takut untuk datang berkhidmat di Sarawak,” katanya.
Menurut beliau para doktor tidak harus menolak tawaran yang diberikan dan menggunakan peluang yang terbaik ini untuk berkhidmat di Sarawak.
“Anda perlu berpegang pada profesion pekerjaan anda sendiri. Kita lihat Pusat Jantung Sarawak berada di kedudukan ke-48 dalam senarai 100 hospital pakar kardiologi terbaik di Asia Pasifik.
“Jika kita melihat hospital kerajaan Malaysia lain, tidak ada yang mempunyai kedudukan seperti itu. Selain itu, jika kita menerima banyak peruntukan, saya fikir hospital kita boleh menjadi 10 teratas. Janganlah prejudis dan berat sebelah terhadap negeri Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian berhubung isu lebih 200 doktor gagal melapor diri atau menolak jawatan kontrak untuk berkhidmat di Sarawak pada Majlis Bengkel Kesedaran Spina Bfida di Bangunan Chemsain Kuching di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Hospital Umum Sarawak Dr Ngian Hie Ung, Presiden Persatuan Spina Bfida Malaysia, Profesor Dr Amaramalar Selvi Naicker-Naysaduray dan Gabenor Daerah Antarabangsa Rotary 3310, Dr John Chan.-TVS