Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. Foto: Bernama.

Ekonomi MADANI mampu lonjak ekonomi, tambah baik KDNK negara – Fadillah Yusof

ByBernama

KUALA LUMPUR, 28 Julai: Inisiatif di bawah Ekonomi Madani yang diumumkan  oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu melonjakkan ekonomi dan menambah baik Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, sektor agrikomoditi adalah penting untuk ekonomi negara dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan serta meningkatkan KDNK negara.

Katanya kementerian bersedia untuk mengorak langkah menerusi penjajaran program dan aktiviti bagi menyokong aspirasi tersebut.

“Dengan krisis makanan yang dihadapi dunia, penting untuk negara terus mengatur strategi supaya tidak bergantung semata-mata kepada penghasilan komoditi di peringkat huluan tetapi turut mempelbagaikan produk hiliran bernilai tambah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, kementerian menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan mempergiat penghasilan baka sawit hibrid yang dapat menghasilkan minyak lebih banyak dengan menggunakan keluasan tanah terhad.

Ia adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk mengoptimumkan penggunaan tanah perladangan sedia ada, katanya.

Fadillah berkata, MPOB sebagai institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga akan terus memastikan produk sawit dihasilkan sentiasa berkualiti serta mampan, mengambil kira cabaran pada masa ini.

Katanya kementerian turut menyambut baik usaha Sarawak memperintis kenderaan menggunakan tenaga hidrogen dan CCUS (perangkap, penggunaan dan penyimpanan karbon) dan mendukung inisiatif kerajaan dalam pelaksanaan pemulihan kelestarian alam menerusi pendayagunaan teknologi hijau.

Ekonomi Madani, adalah rangka kerja ekonomi terbaharu diumumkan oleh Perdana Menteri yang bertujuan untuk meningkatkan ekonomi Malaysia seterusnya menyediakan limpahan hasil kepada rakyat untuk membolehkan mereka menikmati kualiti hidup yang lebih baik. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan