KUCHING, 28 Julai: Acara Perarakan Kapal Berhias yang berlangsung pada malam Sabtu ini di Tebingan Kuching cuba menampilkan tema Sarawak Maju Makmur menerusi hiasan kapal 20 kapal peserta.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep berkata ciri ini merupakan kelainan Perarakan Kapal Berhias yang disertai jabatan, agensi, badan berkanun dan swasta.
“Kalau dulu kita tidak mempunyai kemudahan dan teknologi, dengan perubahan masa, teknologi telah dipertingkatkan dan maju maka cara perhiasan kali ini juga berubah.
“Kesungguhan ini menunjukan komitmen mereka untuk merayakan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka dalam Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mengenai promosi acara ini ke peringkat antarabangsa, beliau berkata ia dapat dilaksanakan dengan pendedahan di media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram dan lain-lain platform.
Samling Timber Malaysia, juara Perarakan Kapal Berhias Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka
“Untuk promosi acara ini secara rasmi akan diurus oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan mereka akan memastikan setiap foto dan video disimpan sebagai arkib untuk tujuan promosi pelancongan Sarawak,” katanya.
Raptai penuh acara yang diadakan sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka telah berlangsung malam tadi.
Hadir menyaksikan raptai penuh malam tadi ialah Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Dalam pada itu, saksikan siaran langsung acara Perarakan Kapal Berhias pada 29 Julai menerusi TVS Saluran 122 Astro dan MYTV pada 8.30 malam, Youtube dan Tiktok TVS bermula 6 petang. – TVS