LAWAS, 27 Julai: Kehangatan senario politik di Semenanjung tidak mempengaruhi kestabilan politik di Sarawak kata Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong.
Menurutnya parti-parti tempatan Sarawak komited menjaga perpaduan dan keharmonian rakyat di negeri ini.
“Sarawak kita sentiasa hidup aman damai, kita juga tidak ingin keadaan berubah seperti politik panas yang berlaku di Semenanjung.
“Kita berada dalam keadaan begini, kita tumpukan kepada usaha seperti juga usaha alam sekitar ini untuk mengelakkan terjadinya perkara-perkara yang tidak diingini.
“Begitu juga usaha kita dan rakyat keseluruhannya untuk memastikan tiada apa-apa masalah yang berlaku dan harus sentiasa bersedia sekali gus mengekalkan keharmonian dan kesejahteraam rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Uji Cuba dan Latih Amal Prosedur Tetap Operasi (SOP) Melaksanakan Program Mencegah Kebakaran Tanah Gambut untuk mengatasi jerebu di Daerah Lawas hari ini.
Dalam pada itu, Henry optimis situasi politik hangat berikutan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri di Semenanjung Malaysia kembali reda sebaik PRN di negeri-negeri terlibat selesai.
Hadir sama Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sarawak , John Rampai, wakil Polis Diraja Malaysia, DSP Liong Tindan dan wakil jabatan serta agensi kerajaan lain. -TVS