SUNGAI PETANI, 27 Julai: Seorang penunggang motosikal ditemui mati di dalam longkang di tepi jalan selepas terlibat kemalangan jalan raya di Kilometer 47.5 Jalan Alor Setar-Butterworth di sini hari ini.
Polis mendapat maklumat berhubung penemuan mayat mangsa, T. Murti, 42, di dalam saluran air itu kira-kira pukul 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Che Hassan berkata, siasatan polis mendapati terdapat kesan calar pada struktur binaan saliran air itu dan kerosakan di bahagian hadapan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang mangsa.
“Kemalangan dikatakan berlaku apabila motosikal itu yang sedang bergerak dari arah Bedong menghala ke Gurun telah hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.
“Impak perlanggaran yang kuat telah menyebabkan penunggang maut di lokasi kemalangan dengan kecederaan parah pada kepala,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar Zaidy, kejadian itu dikatakan berlaku dalam keadaan cuaca baik di jalan lurus dengan dua lorong sehala.
Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS