KUCHING, 27 Julai: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengutamakan penghasilan produk sawit yang berkualiti dan mampan meskipun berdepan konflik dengan Eropah.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penolakan Eropah disebabkan beberapa dakwaan menjadi cabaran utama untuk sektor agrikomoditi negara.
“MPOB sebagai institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga akan terus memastikan bahawa produk sawit yang dihasilkan sentiasa berkualiti serta mampan, mengambil kira cabaran masa kini yang dihadapi terutamanya penolakan Eropah atas dakwaan pelbagai isu seperti penyahhutanan dan keselamatan makanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, beliau berkata MPOB juga akan mempertingkat penghasilan baka sawit hibrid dalam usaha mengoptimum penggunaan tanah perladangan sedia ada, seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sawit hibrid itu akan menghasilkan minyak yang lebih banyak dengan menggunakan keluasan tanah yang terhad.
Fadillah menambah, kementeriannya juga akan meneliti pasaran perdagangan karbon bagi sektor berkenaan dalam usaha mencipta kekayaan baharu negara.
Terdahulu pada pengumuman Ekonomi Madani, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan semula perlu dilaksanakan terhadap penggunaan tanah.
Setakat ini, sejumlah 5.7 juta hektar tanah digunakan bagi tanaman kelapa sawit dan hampir 2 juta hektar lagi bagi tanaman getah.
Antara usaha adalah mencipta aset biodiversiti dalam pasaran perdagangan karbon melalui usaha pemuliharaan dan penghutanan semula. -TVS