KUCHING, 27 Julai: Festival Maal Hijrah (FMH) 2023 bakal menemui warga Kuching sekali lagi di Masjid Jamek Negeri Sarawak, mulai esok hingga 30 Julai 2023.
Bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia Madani”, FMH 2023 menjanjikan lebih daripada 30 aktiviti menarik serta pelbagai gerai makanan turut serta.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), Mohamad Feisal Said, bertepatan dengan tema tahun ini, FMH 2023 turut meraikan masyarakat bukan Islam.
“Bagi merealisasikan tema “Perpaduan Teras Malaysia Madani”, objektif FMH 2023 adalah sebagai platform perpaduan untuk warga Sarawak,” katanya kepada TVS pada Khamis.
Selain berhasrat untuk menyemarakkan umat Islam sempena sambutan Maal Hijrah kali ini, Feisal menambah festival tahun ini juga akan menampilkan temanya di peringkat Sarawak, iaitu ‘kelestarian untuk kesejahteraan ummah’ bagi memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat Sarawak.
“Tema kelestarian kali ini adalah selari dengan aspirasi kerajaan Sarawak dalam usaha mendukung kelestarian alam sekitar.
“Antaranya, pameran yang dianjurkan oleh Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak dengan kolaborasi agensi berkaitan yang akan akan berkongsi berhubung karbon kredit, bahan api udara yang mampan dan tenaga hijau,” jelasnya.
Turut serta dalam FMH 2023 kali ini juga adalah program untuk kaum hawa yang akan menampilkan ‘celebrity masterchef’ Sabri Hasan selain sesi cabutan bertuah juga akan diadakan sepanjang hujung minggu ini.
Untuk maklumat lanjut, sila layari portal web rasmi Festival Maal Hijrah 2023 – fmh2023.online. – TVS