PADAWAN, 26 Julai: Kemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi bagi memastikan agenda pembangunan dapat direalisasikan seiring dengan kemahiran dan bakat yang ada.
Timbalan Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Datuk Dr Jerip Susil berkata, pendidikan TVET juga sangat penting bagi kemajuan negeri Sarawak kerana ia melengkapkan individu dengan kemahiran praktikal dan pengetahuan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja moden.
“Tambahan pula Sarawak, sememangnya kaya dengan sumber alam semulajadi yang melimpah, mempunyai kelebihan yang unik dalam sektor seperti minyak dan gas, kayu, pertanian dan pelancongan.
“Melalui TVET, kita dapat memastikan bahawa tenaga kerja kita memiliki kemahiran teknikal yang diperlukan untuk memanfaatkan sumber daya ini secara lestari, memaksimumkan potensi mereka sambil melestarikan alam sekitar kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Project of Dream Realized (PRO – DR) di Dewan Masyarakat Padawan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Jerip berkata, pendidikan TVET dan STEM turut memberi landasan yang kukuh kepada para pelajar yang masih dibangku sekolah untuk mempersiapkan diri mereka dalam mendepani cabaran.
“Masa depan Sarawak bergantung kepada keupayaan kita untuk merangkul dan memanfaatkan kekuatan pendidikan STEM dan TVET. Dengan memberikan kepada pelajar kita landasan yang kukuh dalam bidang ini, kita tidak hanya mempersiapkan mereka untuk cabaran masa depan, tetapi juga memposisikan Sarawak sebagai pusat inovasi, kelestarian, dan pertumbuhan ekonomi di rantau ini,” katanya.
PRO-DR Roadshow adalah program jerayawara karnival pendidikan dan kerjaya yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak melalui TEGAS dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).
Program jerayawara selama 25 hari ini melibatkan 45 buah institusi pendidikan dan latihan, agensi kerajaan, dan bantuan kewangan.
Objektif utamanya adalah membantu pelajar luar bandar di Sarawak mencapai kerjaya impian mereka melalui pendidikan tapa mengira kelayakan akademik.
Untuk rekod ini merupakan edisi ke-8 PRO-DR diadakan sejak kali pertama dianjurkan tahun 2015. – TVS