Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pekerja ladang sawit
Kerajaan Sarawak mengingatkan majikan bahawa selepas tempoh pelaksanaan RTK 2.0, Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak akan melaksanakan penguatkuasaan terhadap PATI. Foto hiasan: Bernama

Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dalam kalangan PATI bermula 26 Julai hingga 31 Disember 2023

ByMuqri Aziz

KUCHING, 26 Julai: Kerajaan Sarawak mengadakan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 bermula 26 Julai hingga 31 Disember 2023 bagi meregularisasikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, persetujuan melaksanakan program berkenaan dicapai bersama Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja.

“(RTK) melibatkan tujuh sektor iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian, perkhidmatan, perlombongan dan kuari serta pembantu rumah asing.

“Majikan beroperasi dalam sektor 3D iaitu bahaya (dangerous), susah (difficult) dan kotor (dirty) dibenarkan mengambil PATI dengan mendaftarkan mereka sebagai pekerja dalam tempoh pelaksanaan RTK 2.0,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, permohonan tertakluk dengan syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan.

PATI yang layak adalah warganegara asing yang telah melakukan kesalahan pada atau sebelum 31 Disember 2022 di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di negara ini tanpa mempunyai pas yang sah.

Turut layak, mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas. Tempoh sahlaku dokumen perjalanan sekurang-kurangnya enam bulan.

Gerawat juga menambah hanya PATI daripada 16 negara sahaja yang dibenarkan iaitu Indonesia, Bangladesh, Thailand, India, Filipina, Kemboja, Laos, Nepal, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, Pakistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan dan China.

“Semua PATI dan majikan yang berhasrat untuk menyertai Program RTK 2.0 perlu berurusan secara terus dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja di Sarawak,” katanya lagi.

Tiada bayaran deposit dikenakan kepada majikan setelah proses pendaftaran.

Untuk permohonan Program RTK 2.0, majikan perlu memohon secara dalam talian melalui portal Jabatan Imigresen Malaysia di www.imi.gov.my dan klik ke pautan ‘Portal Rekalibrasi’ dan majikan juga perlu mendapatkan Kelulusan Secara Dasar (AP-Approval in Principle) bagi Penggajian Pekerja Bukan Pemastautin dan Lesen Menggaji di bawah Seksyen 119 Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) daripada Jabatan Tenaga Kerja Sarawak dan hadir ke Bahagian Pekerja Asing Jabatan Imigresen Malaysia setelah melengkapkan semua dokumen yang diperlukan.

“Majikan disarankan agar mengambil peluang dalam pelaksanaan RTK 2.0 untuk mendaftarkan PATI yang sedia ada di Sarawak sebagai sumber tenaga kerja di semua sektor ekonomi yang terlibat agar pengambilan pekerja asing adalah sah dan teratur,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan