BINTULU, 26 Julai: Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis susulan dakwaan merosakkan 51 kubur dengan cat merah dan biru di Tanah Perkuburan Islam Kemunting di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit berkata, hasil siasatan pihak polis mendapati 41 kubur telah dicat dengan tulisan warna biru manakala 10 lagi disembur dengan tulisan berwarna merah.
“Dalam kes ini seorang lelaki anggaran umur 40-an telah ditahan untuk membantu siasatan. Suspek direman selama tiga hari bermula 25 Julai hingga 28 Julai untuk siasatan lanjut. Kes masih dalam siasatan pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 297/427 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan di kawasan tanah perkuburan dan perbuatan khianat ke atas harta benda.
“Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali, manakala sekiranya disabit kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tampil dan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Muhammad Hafizuddin Zaidi di talian 014-6066404 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304 sekiranya mempunyai maklumat berkenaan kejadian.-TVS