KUCHING, 26 Julai: Hampir dua bulan selepas mencipta sejarah sebagai pemain wanita Sarawak pertama menjuarai Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia, Lavinia Kho terus mempamerkan taringnya di pentas antarabangsa.
Semalam, gadis berusia 18 tahun dari Kuching itu mengungguli kategori graded wanita Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Thailand.
Beraksi di Pusat Boling Blu-O Rhythm & Bowl Ratchayothin, Bangkok, Lavinia yang menang tiga pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lepas menguasai gelanggang dengan melakukan catatan 206,208,299,187,190,209,245 dan 187 untuk jumlah keseluruhan 1,731 pin.
Catatan itu jauh meninggalkan wakil Thailand, Thanakorn Wutti di tempat kedua dengan 1,521 pin manakala seorang lagi peserta tuan rumah T. Roengjit di tempat ketiga dengan 1,489 pin.
Lavinia berkata, kejayaan semalam sangat bermakna kerana dia berjaya menebus kehampaan acara final perempuan bawah 18 tahun apabila sekadar berada di tempat keempat.
“Ketika beraksi semalam, saya telah mendapat rentak untuk melakukan balingan yang cemerlang hasil bimbingan jurulatih.
“Saya sangat berpuas hati namun misi saya di Thailand belum berakhir kerana akan bertanding kategori terbuka wanita yang lebih mencabar kerana turut disertai oleh pemain terbaik Asia selain kehadiran beberapa bekas juara dunia,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Selaku juara graded, Lavinia membawa pulang hadiah RM6,663 dan sekiranya muncul juara kategori terbuka wanita, tambahan RM17,250 akan menjadi miliknya.
Tambah Lavinia, dia akan melakukan yang terbaik untuk layak ke final acara berkenaan. – TVS