JAKARTA, 26 Julai: Lapan pelombong emas dilaporkan terperangkap dalam sebuah lombong berkedalaman 60 meter di Kampung Pancurendang, Banyumas, Jawa Tengah, Indonesia.
Kesemua mangsa dipercayai melakukan kegiatan itu secara haram sejak semalam.
Kebimbangan utama pihak berkuasa ketika ini ialah mengenai nasib mereka berikutan lombong itu dipenuhi air.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat (Basarnas) Cilacap Adah Sudarsa berkata, kumpulan itu terperangkap berikutan ‘air yang muncul secara tiba-tiba’.
Setakat ini katanya pasukan penyelamat yang terdiri daripada tentera dan polis sedang berusaha mengepam air untuk memudahkan operasi menyelamat.
“Pasukan masih belum dapat masuk ke dalam lubang berkenaan kerana paras air masih belum berkurangan,” katanya.Â
Sehingga berita ini ditulis, nasib kesemua pelombong itu masih belum diketahui. -TVS