KUCHING, 26 Julai: Hasil ternakan ikan tilapia di Batang Ai, Sarawak bakal dieksport semula ke Singapura bermula hujung bulan ini.
Pengarah Urusan Borneo Eco Fish, Thomas Hii Tiong Kong berkata, sebanyak 10 tan ikan air tawar itu akan dihantar ke negara berkenaan dengan bantuan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS).
Kata beliau, ini merupakan kejayaan terbaharu STATOS yang berterusan melaksanakan pelbagai acara perdagangan untuk mempromosikan produk Sarawak.
“Sebelum ini terdapat penghantaran namun dihentikan berikutan pandemik COVID-19 selain berdepan masalah rantaian bekalan, logistik serta gangguan pasaran,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Thomas berkata, eksport kali ini turut diberi nafas baharu membabitkan penjenamaan.
“Sebelum ini kami mengeksport ikan tilapia tanpa meletakkan jenama, oleh itu pembeli di Singapura tidak menyedarinya kerana negara berkenaan turut mengimport ikan ini dari beberapa negara lain,” katanya.
Sehubungan itu katanya, jenama dan logo Borneo Eco Fish (BEF) digunakan pada pembungkusan kali ini untuk dipamerkan di rangkaian pasar raya di Singapura.
Sementara itu, beliau memberitahu, pelbagai bantuan yang disediakan Kerajaan Sarawak menerusi STATOS telah memudahkan pihaknya untuk menembusi pasaran republik berkenaan.
“Menerusi Skim Bantuan Promosi STATOS (PASS) telah membantu syarikat kami lebih berdaya saing untuk menjual produk di sana,” katanya.
Pada masa hadapan, Thomas berkata, eksport ikan ke Singapura oleh syarikatnya boleh membuka pasaran yang lebih besar ke negara lain.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STATOS, Chew Chang Guan berkata, kegiatan eksport ikan oleh Borneo Eco Fish itu boleh membuka peluang untuk segmen baharu termasuk kepada restoran serta pemain industri yang ingin membeli ikan berkualiti tinggi dari Sarawak.
“Dalam usaha memastikan orang ramai mengetahui tentang produk Sarawak, kita perlu tingkatkan usaha pemasaran.
“Oleh itu, kami menggalakkan lebih banyak usahawan tempatan yang ingin menembusi pasaran Singapura atau luar negara mendapatkan khidmat bantuan STATOS.
“Usahawan boleh memohon PASS melalui STATOS dengan memperoleh bantuan kewangan sehingga 10,000 dolar Singapura (RM34,347) setahun.
“Jika anda memerlukan maklumat lanjut, pergi ke STATOS atau layari laman web kami,” katanya.
Harga ikan tilapia dijual itu dalam anggaran 15 dolar Singapura (RM51.54) hingga ke 18 dolar Singapura (RM61.84) di Pasaraya Sheng Siong juga pasar raya kedua terbesar di Singapura dengan memiliki 67 cawangan. -TVS